Tafsir Surah Kahfi Ayat 29 – 32 (Kisah Orang Kaya dan Miskin) (2024)

Kahf Ayat 29:

Sahih International

And say, “The truth is from your Lord, so whoever wills – let him believe; and whoever wills – let him disbelieve.” Indeed, We have prepared for the wrongdoers a fire whose walls will surround them. And if they call for relief, they will be relieved with water like murky oil, which scalds [their] faces. Wretched is the drink, and evil is the resting place.

Malay

Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَّبِّكُمْ

Dan katakanlah kebenaran itu datang dari Tuhan kamu;

Nilai-nilai yang disebut sebelum ini tidak boleh diubah atau diabaikan. Dari segi bahasa ٱلحَقُّ adalah sesuatu yang tetap dan mantap tidak berubah-ubah. Ini seperti Allah ﷻ itu satu, azab kubur, syurga neraka dan lain-lain perkara yang telah disebut di dalam wahyu. Sedangkan ٱلبَـٰطِلُ‌ pula adalah lawan kepada ٱلحَقُّ iaitu sesuatu yang sentiasa berubah-ubah. Perkara yang bathil seperti syirik dan bid’ah sentiasa berubah-ubah. Lihatlah fahaman syirik dan bid’ah yang tidak tetap. Sekejap mereka buat begini, kemudian mereka tukar pula kepada amalan yang lain, bukan?

Firman-firman-Nya pun adalah haq yakni tidak berubah-ubah. Kebenaran yang tidak bersumber daripada Allah ﷻ, sifatnya relatif, boleh jadi hari ini benar dan esok boleh jadi salah. Boleh jadi juga sebahagian kandungannya benar dan sebahagian lainnya keliru. Sesuatu yang diragukan tidaklah bersifat haq, kerana ia tidak mantap di hati, demikian juga kebatilan, kerana kebatilan pasti lenyap, cepat atau lambat.

Kebenaran itu bukan datang dari kita tapi dari Allah. Apabila Nabi menolak permintaan mereka (Pendeta Yahudi dan Pemuka Quraish) supaya Nabi hanya melayan mereka sahaja, Nabi disuruh memberitahu bahawa kebenaran itu dari Allah. Nabi tidak memerlukan mereka. Islam tidak memerlukan sokongan dan harta mereka. Maka sebutkan dan sampaikan sahaja kebenaran dari Allah itu. Terpulang siapa yang mahu ikut atau tidak. Kerana kebenaran bukan hanya milik orang kaya sahaja, sesiapa sahaja layak dapat kebenaran.

فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ

Maka sesiapa yang hendak beriman, berimanlah.

Manusia telah diberikan pilihan untuk memilih jalan sendiri. Manusia bukan seperti malaikat yang tidak ada pilihan untuk tidak taat. Jadi kalau manusia hendak memilih jalan yang salah, memang boleh. Kalau mereka hendak beriman, maka bagus bagi mereka. Allah tidak memaksa iman ke atas manusia dan jin.

وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ

dan sesiapa yang ingin kafir, maka kafirlah;

Tapi kalau manusia memilih hendak jadi engkar, maka silakan. Tapi jangan salah faham pula. Ayat ini sebenarnya adalah ancaman keras. Bukan nak beri kebenaran kepada manusia untuk jadi kafir pula. Ini adalah ayat dalam bentuk perli. Kalau tak mahu nak beriman, maka ikut kamulah. Nanti hadaplah azab di akhirat kelak.

Ini seperti anak yang hendak bermain di luar rumah dalam hujan. Ayahnya tidak beri tapi dia hendak juga. Maka ayahnya pun berkata: “Nak pergi sangat, pergilah!” Ini bukan kebenaran sebenarnya, tapi ancaman. Kalau anak itu pergi juga, siaplah dia.

إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا

Sesungguhnya Kami sediakan api Nerakakepada orang yang buat syirik itu;

Ini adalah Takhwif ukhrawi (Penakutan dengan azab akhirat). Memang manusia boleh memilih untuk jadi kafir, tapi ada ancamannya. Kalau kamu kufur, maka tempat kamu adalah di neraka.

Dalam ayat ini digunakan kalimah ‘zalim’. Zalim dalam ayat ini bermaksud melakukan syirik. Ini adalah kerana syirik adalah kezaliman yang paling besar.

Bukan Allah ‘akan sediakan’ neraka itu tapi Allah sudah sediakan siap-siap api neraka itu. Maknanya neraka memang sudah ada. Ini adalah dalil yang syurga neraka sudah ada.

Lihatlah bagaimana mereka yang engkar diancam dengan api neraka. Allah sahaja yang boleh buat begini. Kalau kita berniaga, dan pelanggan hampir meninggalkan kita, kita akan tawar dia macam-macam benda tambahan untuk dia terus membeli, bukan? Takkan kita nak marah dia pula, bukan? Tapi lihatlah bagaimana Allah melayan mereka. Allah tidak perlu tawarkan kebaikan kepada mereka, tapi Allah ancam mereka kalau mereka tidak terima. Kerana agama ini bukanlah barang murah yang boleh ditawar-tawar lagi. Kalau kamu tidak mahu, maka inilah ancamannya.

Ayat seterusnya menerangkan apakah api neraka itu.

أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا

yang gelegaknya akan meliputinya seperti dinding;

Allah menceritakan kedahsyatan neraka itu. Ianya dipenuhi dengan api sahaja. Di atas, bawah dan tepi mereka akan diliputi oleh api neraka. Dindingnya, atap dan bawahnya adalah dari api. Jadi tidak ada tempat untuk lari dan selamatkan diri. Kemudian orang itu dibakar dengan api pula. Semuanya api belaka. Ini kerana kalimah سُرَادِقُ bermaksud khemah yang tidak ada atap.

Kalimah سُرَادِقُ berasal dari bahasa Parsi (ya ada kalimat di dalam Al-Qur’an menggunakan bahasa Parsi). Selain dari khemah, ia juga bermaksud penghalang yang menghalang orang dari memasuki rumah atau khemah. Dalam kes neraka ini, ia menghalang penghuni neraka dari keluar dan juga menghalang sesiapa untuk membantu. Biasanya rumah-rumah yang سُرَادِقُ adalah orang kaya-kaya. Jadi ada perli kepada orang kaya yang menentang kebenaran di sini.

وَإِنْ يَسْتَغِيثُوا

Dan jika mereka minta minum;

Ahli neraka akan dahaga sentiasa dari sem*njak mereka masuk dalam neraka dan kehausan mereka itu tidak akan hilang sampai bila-bila. Maka tentulah mereka akan minta air kerana mereka dahaga sangat. Mereka terpaksa minta air itu selama seribu tahun barulah malaikat penjaga Neraka nak toleh tanya apa yang mereka hendak.

يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ

mereka diberi minum dengan air yang seperti besi cair yang mendidih;

Mereka akan diberi minum tapi bukan dengan air yang dapat menghilangkan dahaga. Mereka akan diberikan dengan air menggelegak atau tembaga cair yang mendidih. Sanggupkah nak minum? Air itu kelihatan seperti kerak minyak besi. Maknanya air minuman pun jadi azab juga buat mereka!

يَشْوِي الْوُجُوهَ

yang menghancurkan muka;

Ianya panas sangat sampaikan hangus muka sesiapa yang hendak minum. Ini belum masuk dalam mulut lagi. Padahal kulit muka di neraka itu bukan macam kulit muka kita yang di dunia ini. Sebelum masuk neraka, kulit telah dinaiktaraf setebal 42 hasta. Sudah tebal macam itu pun boleh hancur lagi bila diberi minum dengan tembaga mendidih itu.

بِئْسَ الشَّرَابُ

Alangkah buruknya minuman itu;

Maka cubalah fikirkan dan bayangkan. Ini bukan air biasa tapi air minuman yang paling teruk Allah beri. Dan air itu bukannya mereka minum dengan senang hati, dengan rela, akan tetapi akan dipaksakan ke atas mereka. Kerana mereka yang asalnya minta air, bukan? Nah inilah airnya!

وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا

Dan seburuk-buruk tempat berehat;

Kalimah مُرْتَفَقًا sebenarnya bermaksud tempat rehat. Allah perli dengan sebut neraka itu adalah ‘tempat rehat’. Padahal, ianya bukanlah tempat rehat. Ini seperti banduan masuk penjara dan warden penjaga kata: “ha masuklah bilik hotel 5 bintang kau ni….”. Ia sebagai perli sahaja. Mana mungkin ia jadi tempat rehat kerana ahli neraka akan diseksa dari mula masuk tanpa henti.

Kahf Ayat 30: Tabshir Ukhrawi (beri gembira dengan akhirat).Selepas cerita tentang ahli neraka, Allah cerita tentang ahli syurga pula. Begitulah keseimbangan yang ada di dalam Al-Qur’an. Kalau hanya cerita tentang keburukan dan benda-benda yang menakutkan sahaja, maka hilanglah rahmat di dalam dakwah.

Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – indeed, We will not allow to be lost the reward of any who did well in deeds.

Malay

Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.

إِنَّ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman sempurna;

Orang yang ‘beriman sempurna’ adalah mereka yang tidak melakukan syirik. Tidak cukup dengan ‘beriman’ sahaja. Kerana ada orang yang percaya dengan perkara-perkara yang perlu dipercayai seperti Allah, Rasul, Kitab dan sebagainya. Tapi dalam masa yang sama, mereka percaya pula kepada kuasa wali, boleh tawasul dengan mereka dan sebagainya. Jadi ini adalah kepercayaan yang salah dan tidak beriman dengan ‘sempurna’.

Orang yang beriman sempurna akan tolak salah faham syirik ini dari kehidupan mereka. Mereka tahu apa yang perlu diimani dan apa yang tidak perlu diimani.

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan beramal soleh;

Iman bukan hanya di dalam hati dan cakap kosong sahaja, tapi hendaklah ditunjukkan dengan amalan. Dan amalan itu mestilah amalan yang soleh (baik). Iaitu mereka melakukan amal ibadat yang betul-betul seperti yang Nabi ajar. Kalau selain itu, itu adalah amal ibadat bid’ah dan amalan itu ditolak. Bukan sahaja sia-sia amalan itu, tapi akan dimasukkan ke neraka kerana mengamalkan amalan ibadat yang salah. Ramai masyarakat kita senang sekali dengan jahilnya mengamalkan amalan-amalan bid’ah yang tidak ada dalil sandaran dari Rasulullah dan para sahabat.

إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ مَن أَحسَنَ عَمَلًا

Sesungguhnya Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala kepada orang yang berbuat baik;

Maknanya, Allah akan balas amalan baik manusia. Tidaklah amalan baik kita ini percuma sahaja, melainkan akan dibalas dengan kebaikan. Pahala yang diberi adalah lebih baik dari ibadat yang dibuat. Satu ibadat akan dibalas dengan sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda. Atau lebih lagi sampai tidak terkira banyaknya.

Kahf Ayat 31: Sambungan tabshir ukhrawi.

Sahih International

Those will have gardens of perpetual residence; beneath them rivers will flow. They will be adorned therein with bracelets of gold and will wear green garments of fine silk and brocade, reclining therein on adorned couches. Excellent is the reward, and good is the resting place.

Malay

Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang seperti ini

Iaitu orang-orang yang mempunyai sifat-sifat seperti yang disebut sebelum ini. Mereka itu orang yang beriman sebenar dan beramal dengan amalan yang soleh. Semoga kita termasuk di dalam golongan ini.

لَهُمْ جَنّٰتُ عَدْنٍ

bagi mereka adalah syurga Ad’nin

Mereka akan mendapat nikmat dimasukkan ke dalam Syurga Ad’nin. Syurga ini disebut dalam bahasa Inggeris sebagai Eden. Maksudnya syurga yang kekal abadi.

تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهٰرُ

yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai;

Oleh kerana manusia suka kepada air, maka Allah berikan suasana rumah yang ada air sungai di bawahnya. Ini tentunya hebat kerana orang Arab tidak ada sungai di tempat mereka. Jadi bila ada istana yang ada sungai, tentulah mereka amat suka sekali. Kalau kita hidup di Malaysia yang banyak sungai ini pun, bukannya senang nak main sungai. Kena memandu pula ke kawasan yang jauh kerana selalunya sungai tempat orang berkelah duduknya di dalam hutan.

Maksud ‘di bawah’ mereka itu juga boleh bermaksud yang sungai-sungai itu (kalimah الْأَنْهٰرُ adalah dalam bentuk jamak, jadi bukan hanya ada satu sungai sahaja, tapi banyak) ‘di bawah perintah’. Maknanya penghuni syurga boleh perintah sungai itu untuk lalu ikut laluan yang dia suka. Ini tentu tidak dapat dilakukan di dunia kerana sungai di dunia sudah tetap. Tapi Allah benarkan penghuni syurga untuk menghias sendiri sungainya. Maka penghuni syurga boleh perintah sungai itu sama ada ikut laluan bawah, ikut laluan atas dan sebagainya.

Syurga itu adalah taman yang indah tetapi bukan ada pokok-pokok sahaja, malah ada sungai-sungai. Sungai-sungai itu mengalir di dalam syurga itu. Ini amat indah sekali. Tambahan pula kepada bangsa Arab waktu itu yang jarang dapat melihat sungai kerana tempat mereka hanya ada padang pasir sahaja. Maka ini sangat menarik perhatian mereka dan dapat memberi motivasi yang amat tinggi kepada mereka.

Allah ﷻ banyak kali menyebut tentang sungai-sungai di dalam Al-Qur’an untuk memberitahu motivasi kepada kita untuk beriman dan beramal. Ini kerana manusia memang sukakan air seperti sungai. Ramai yang suka berkelah di sungai tetapi kena pergi jauh sebab sungai selalunya jauh dari tempat tinggal kita. Apatah lagi orang Arab yang mungkin tidak pernah melihat sungai pun, dengar cerita sahaja. Maka Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia.

Di sini tidak disebut apakah jenis sungai itu tetapi disebut di dalam ayat yang lain iaitu Muhammad: 15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

Cerita tentang sungai ini pun sudah hebat kerana ia tidak sama dengan sungai di dunia ini. Ini semua untuk menaikkan semangat kita untuk memasuki syurga.

يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِنْ ذَهَبٍ

Mereka akan dipakaikan dengan perhiasan dari gelang-gelang emas;

Selepas Allah menceritakan tentang istana dan kawasan sekitar, Allah sebut tentang perhiasan bagi penghuni syurga itu. Mereka akan diberikan dengan أَسَاوِرَ (jamak bagi سِوَارٌ) iaitu gelang perhiasan yang amat-amat indah. Kalimah yang digunakan adalah يُحَلَّوْنَ bermaksud mereka akan dipakaikan, bukan pakai sendiri. Bidadari akan pakaikan sebagai tanda kehebatan, macam raja yang dipakaikan perhiasan oleh pelayan mereka. Maka Allah beritahu yang mereka itu akan dihiaskan dengan emas, iaitu emas dari syurga. Dan apabila digunakan kalimah jamak, bermaksud mereka pakai banyak gelang dan berbagai jenis.

Ini bukanlah emas dunia kerana kualitinya tak sama dengan emas di dunia. Emas dunia hanyalah tiruan dari emas syurga. Begitu juga dengan sutera di dunia, hanya tiruan dari syurga sahaja. Maknanya, yang dari syurga itu lebih baik lagi. Di dalam ayat ini disebut gelang dari emas, sedangkan di dalam Insan:21 disebut gelang dari perak pula. Jadi penghuni syurga pakai gelang dan perhiasan dari jenis emas dan juga dari perak.

وَحُلّوا أَساوِرَ مِن فِضَّةٍ

dan dipakaikan kepada mereka gelang terbuat dari perak

Mungkin ada yang berhujah, dia lelaki jadi tak pakai pun perhiasan gelang-gelang ini semua. Malah kalau dia pakai perhiasan sebegitu sekarang, ia akan nampak pelik sangat dan tidak sesuai pula bagi lelaki untuk pakai perhiasan sebegitu. Malah dilarang oleh agama, bukan? Jawapannya, itu kalau dia pakai situasi di dunia, belum lagi di dalam syurga. Pemakaian perhiasan bergantung kepada tempat dan juga kepada masa. Dalam syurga nanti memang tak buat kerja, memang berhias dan melepak sahaja. Dan perhiasan pun tidak sama dengan perhiasan di dunia. Dengan segala istana dan kemewahan di syurga, pemakaian perhiasan gelang sebegitu adalah amat sesuai. Waktu itu dia akan suka untuk pakai perhiasan dari gelang emas. Di syurga nanti, larangan di dunia sudah tidak ada. Kerana itulah juga lelaki boleh pakaian barangan emas dan juga memakai pakaian sutera.

وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّنْ سُنْدُسٍ

Dan mereka akan memakai pakaian warna hijau daripada sutera halus

Ahli syurga akan diberikan pakaian dari sutera. Pakaian sebegini selalunya di dunia akan dipakai oleh raja-raja sahaja. Di syurga nanti, semua penghuni syurga akan dilayan seperti raja, malah lebih lagi. Dan pakaian dari sutera memberi isyarat yang ahli syurga tidak bekerja kerana orang tidak bekerja pakai sutera. Ini kerana tidak ada lagi kerja di syurga, malah tidak ada amal ibadat pun lagi yang perlu dilakukan.

Dan sutera itu berwarna hijau kerana memang fitrah manusia suka warna hijau. Sebab itu tumbuhan banyaknya warna hijau. Sila perhatikan, kalau kita melalui kawasan yang menghijau, hati dan mata kita akan tenang.

وَإِسْتَبْرَقٍ

dan daripada sutera tebal;

Mereka akan diberikan persalinan sutera sebanyak 70 helai. Tadi disebut sutera halus dan sekarang disebut sutera tebal pula. Maksudnya bahagian dalam pakaian mereka adalah dari sutera tebal dan bahagian luar dipakaikan dengan sutera halus.

Atau, ia boleh bermaksud sutera tebal digunakan untuk seluar dan sutera halus untuk baju. Sebagaimana di dunia pun sekarang kita pakai untuk seluar dengan kain yang kasar sikit dan kalau baju menggunakan kain yang lembut supaya sesuai dengan badan.

مُّتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الْأَرَائِكِ

Mereka bersandar di dalam syurga itu, di atas pelamin-pelamin;

Tadi telah disebut pakaian, sekarang disebut cara duduk ahli syurga pula. Ahli syurga akan berehat di atas tempat duduk mereka dalam keadaan duduk bersenggeng. Maksudnya duduk berehat dengan senang lenang kerana tidak ada kerja dan ibadat lagi. Mereka hanya duduk menikmati segala nikmat dalam syurga sampai melihat segala harta mereka dalam syurga. Mereka duduk dengan tenang sahaja.

نِعْمَ الثَّوَابُ

Sebaik-baik balasan yang diberi;

Itulah sebaik-baik pemberian balasan yang Allah berikan kepada penghuni syurga di atas usaha dan amal mereka semasa di dunia. Mereka memang layak mendapatnya.

وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًا

Seindah-indah tempat berehat;

Ini barulah betul tempat berehat. Bandingkan dengan neraka yang bukan tempat berehat. Memang di syurga dapat rehat dengan serehat-rehatnya. Tidak ada kerja dan tidak ada ibadat lagi. Ini juga memberi isyarat yang semasa kita di dunia, kita kena kerja. Waktu berehat nanti akan ada di syurga. Dan sebaik-baik pekerjaan kita di dunia adalah sebagai pendakwah. Kalau kerja lain, sampai masanya akan pencen, tapi kerja sebagai pendakwah tidak ada pencen.

Habis bahagian pertama Surah Kahfi ini berkenaan Pemuda Kahfi. Ada 4 cerita dalam surah ini dan kita sudah habiskan cerita yang pertama.

Habis Ruku’ ke 4 dari 12 ruku’ yang ada dalam surah ini.

Kahf Ayat 32:Sekarang kita masuk dalam kisah yang kedua. Semua sekali ada 4 kisah besar dalam surah ini. Ini adalah kisah tentang satu orang kafir yang menjadi kaya raya hasil dari bertani dan berniaga. Kekayaan yang didapati oleh lelaki yang disebut dalam ayat ini adalah hebat.

Dari ayat ini sehingga ke ayat 59 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberi contoh sikap berbeza dua orang yang ada iman dan seorang lagi tidak ada iman. Allah juga hendak bezakan dengan orang yang tidak berharta dan tentang harta yang diusahakan.

Sebelum ini telah disampaikan tentang penghuni neraka dan penghuni syurga. Sekarang Allah memberi contoh apa yang berlaku dalam dunia ini sekarang. Allah hendak memberitahu yang manusia rosak akidah kerana cintakan dunia.

Sahih International

And present to them an example of two men: We granted to one of them two gardens of grapevines, and We bordered them with palm trees and placed between them [fields of] crops.

Malay

Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

وَاضْرِبْ لَهُمْ مَّثَلًا

Dan buatlah satu contoh bandingan kepada mereka;

Satu contoh bandingan mestilah sesuatu yang boleh dikaitkan dengan keadaan semasa. Apa yang Allah sampaikan ini adalah perkara yang terjadi pada zaman dulu tapi boleh dikaitkan dengan zaman sekarang. Mereka yang dimaksudkan di dalam ayat ini pertamanya adalah golongan Arab Mekah. Al-Qur’an memberikan pengajaran yang relevan dengan keadaan semasa. Tidaklah Al-Qur’an ini sesuatu yang jumud walaupun ia telah diturunkan lebih dari seribu tahun dahulu. Maka jangan kata Al-Qur’an ini tidak sesuai untuk zaman sekarang.

Salah satu cara pengajaran Al-Qur’an adalah menggunakan perumpamaan. Kerana dengan bentuk perumpamaan, manusia akan lebih faham sesuatu penerangan. Oleh itu memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) dari Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Ankabut:43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Malangnya orang kita rata-ratanya tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimanakah hendak mengambil hidayah daripadanya?

Dunia memandang kejayaan seseorang manusia itu dari kekayaan mereka. Begitulah dunia dulu dan sekarang pun. Kalau orang ada harta, kita pandang tinggi padanya. Kalau seseorang itu kaya, kadang-kadang ada yang bangga diri. Sampai mereka memandang rendah kepada orang lain. Padahal, apa yang mereka ada itu, semuanya dari Allah.

رَّجُلَيْنِ

Tentang dua orang lelaki;

Allah menceritakan tentang situasi ini dengan memberikan perumpamaan dua orang lelaki yang berjiran. Seorang kaya dan seorang miskin. Seorang yang kufur dan seorang lagi seorang mukmin. Ada juga yang kata dua-dua orang itu adalah Muslim. Cuma seorang yang baik, seorang tidak.

جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا

Kami jadikan bagi salah seorang dari keduanya;

Sekarang Allah sampaikan kisah lelaki pertama. Iaitu salah seorang dari dua orang lelaki yang disebut dalam kisah ini. Lelaki ini bukan seorang yang beriman.

Dalam ayat ini, digunakan perkataanجَعَلْنَا (Kami jadikan) – bermakna, Allah kata Dia yang jadikan. Allah mengaitkan DiriNya yang menjadikan kebun-kebun itu. Kalau Allah yang menjadikan, tentulah kebun-kebun itu adalah hebat sekali.

جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنٰبٍ

dua buah kebun anggur;

Apabila Allah kata Dia berikan dua kebun, mengikut riwayatnya, dalam kebun itu ada 70 jenis anggur pula. Ini adalah satu nikmat dari Allah yang besar. Sebab kebun anggur adalah susah untuk dijaga. Kalau di negara barat sekarang, dipanggil vineyard – dan jenis ladang ini adalah yang paling mahal sekali. Kerana ia buah yang boleh jadi makanan dan boleh jadi minuman juga. Ia boleh dimakan masa kering dan basah juga.

Oleh kerana menjaganya susah, maka memerlukan pekerja yang ramai. Bermakna, lelaki itu ada banyak pekerja di bawahnya untuk menguruskan tanaman anggurnya itu. Maknanya, dia bukan sahaja dia mempunyai harta yang banyak, tapi dia juga ada orang bawahan yang banyak.

Dalam ayat ini, Allah hanya menyebut tentang apa yang telah diberikan kepada yang kaya sahaja. Bermakna yang seorang lagi itu hartanya tidak bernilai sampai tak layak disebut pun.

وَحَفَفْنٰهُمَا بِنَخْلٍ

dan Kami kelilingkan dua kebun anggur itu dengan kebun-kebun kurma;

Sudahlah orang itu ada kebun anggur dengan 70 jenis anggur, sekarang Allah sebut kebun anggur itu dikelilingi pula dengan kebun kurma. Dan kurma itu pun ada 70 jenis juga. Kurma juga buah yang hebat, yang boleh menjadi makanan ruji. Ini kerana kurma adalah makanan yang mengenyangkan. Ia boleh dimakan masa kering dan basah juga.

Maknanya, besar sangatlah kebunnya itu. Kebun kurma itu menutupi kebun anggurnya. Kerana tanaman anggur itu senang musnah, maka kebun kurma itu dijadikan sebagai pendinding dari ditiup angin kuat. Dan kebun-kebun kurma itu pula boleh juga membuahkan hasil – bukan dijadikan sebagai pendinding sahaja.Sudahlah dia ada kebun anggur, Allah jadikan Security System lagi untuknya.

Sekali lagi ayat menyebut bahawa Dialah حَفَفْنَاهُمَا yang mengelilingkan kebun itu dengan kebun-kebun kurma. Maksudnya Allah nak ingatkan yang Dia yang berikan nikmat itu. Bukannya orang itu dapat sendiri.

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا

Dan Kami jadikan di antara dua kebun anggur dan kurma itu, tanaman lain;

Sudah disebut dua jenis tanaman yang orang itu ada dan sekarang Allah sebut dia ada tanaman lain lagi. Ada yang kata tanaman yang dimaksudkan adalah ladang gandum atau jagung. Ladang itu pun tentunya membuahkan hasil bagi tuannya ini. Atau, tanaman dalam ladang ini menjadi makanan bagi ladang kurma dan anggur dia. Bayangkan betapa banyak hasil dia tengah dapat.

Sekali lagi Allah kata جَعَلْنَا ‘Kami yang menjadikan’. Allah mengingatkan bahawa Dialah yang menjadikan. Maka ini mengingatkan kita yang apa sahaja nikmat harta yang kita ada, semuanya itu adalah pemberian dari Allah. Tapi apabila kalimah جعل yang digunakan, bukan خلق, maka ia bermaksud ada keterlibatan usaha dari makhluk juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf

Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an,Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 29 – 32 (Kisah Orang Kaya dan Miskin) (2024)
Top Articles
Latest Posts
Article information

Author: Dean Jakubowski Ret

Last Updated:

Views: 6249

Rating: 5 / 5 (70 voted)

Reviews: 93% of readers found this page helpful

Author information

Name: Dean Jakubowski Ret

Birthday: 1996-05-10

Address: Apt. 425 4346 Santiago Islands, Shariside, AK 38830-1874

Phone: +96313309894162

Job: Legacy Sales Designer

Hobby: Baseball, Wood carving, Candle making, Jigsaw puzzles, Lacemaking, Parkour, Drawing

Introduction: My name is Dean Jakubowski Ret, I am a enthusiastic, friendly, homely, handsome, zealous, brainy, elegant person who loves writing and wants to share my knowledge and understanding with you.